Bismillah.....
Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?
"... Sesungguhnya Allah melaksanakan
urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan
bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]
Sungguh ia memang benar. Jodoh merupakan satu ketentuan
dari Allah. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun
iman yang wajib kita yakini sepenuh hati tanpa ragu. Tidak beriman kepadanya akan membawa kepada
iman yang tidak sempurna. Bukan mudah tau mencari suami atau isteri. Suami atau
isteri inilah nanti pasangan kita untuk
hidup bersama kalau umur panjang mungkin
sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan
bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah,
berkongsi rasa, berkongsi kasih. Bukan
untuk sehari dua atau pakai buang je….
Forever till Jannah is the greatest dream…
So, nak cari suami atau isteri ni memang perkara serius. Jangan kerana si dia
comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya. Fikir betul-betul. Lihat keterampilannya,
renung siapa temannya, uji dia sedikit sebanyak tentang rutin hariannya. Solat
istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu
tangguhkan sehingga pasti dan yakin.
Mencari suami atau isteri perlukan panduan. Mesti ada sandaran ilmu dan
petunjuk. Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita dan begitulah
sebaliknya. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya.
.jpg)
Jodoh pertemuannikah atau tidak semuanya adalah ketentuan
Ilahi. Ikatan perkahwinan telah
ditetapkan oleh Allah S.W.T. Maka jodoh kita tidak dapat kita tentukan sepenuhnya. Yes kita
hanya mampu merancang dan selebihnya biarlah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Rata-rata
setiap lelaki mengharapkan bakal isterinya itu adalah seorang yang dapat
memenuhi kehendak nalurinya. Begitu juga dengan seorang wanita mengharapkan
bakal suaminya sebagai raja di dalam sebuah rumah tangga. Apakah sebenarnya
yang dikehendaki oleh insan yang bergelar suami mahupun isteri? Apakah yang
sewajibnya ada dalam diri suami atau isteri?
Ini aku petik dari sebuah majalah lama dulu tentang
bagaimana mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam. Al-Ustaz Jasim
Muhammad Al-Mutawwa' mencadangkan agar kita mengajukan 10 soalan. Ianya boleh
diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika
calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu ditemani oleh mahram
wanita tak kiralah walinya kea tau ibundanya.
Jangan pula dilakukan secara berdua-duaan di tempat sunyi dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari
perintah Allah dan Rasul dengan merelakan syaitan menjadi orang ketiga di
antara anda dengan si dia.
10 soalan itu
adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin
dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan
hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang
sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep
perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai
perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang
berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi
tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu
ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada
perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan
tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran
pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan
berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal
mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada
tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai
masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum
bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau
ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan
atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi
pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau
kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan
penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu
penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan
masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang
lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang
macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli
keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara
dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang
mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta
hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit
sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia
mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya
juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan
sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi
semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan
yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan
yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa
masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah
peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur
walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang
yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan
hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang
yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah
berkeluarga? Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa
yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya
dengan pihak yang dilamar.
Nah ini yang dicadangkan. Terpulanglah pada setiap
individu untuk menilai. Sedangkan ikan yang kita nak masak dan makan tu pun
kita pilih yang terbaik apatah lagi pasangan hidup kan…. Dah usaha utnuk
membuat pilihan maka serahkan pada Allah untuk menunjukkan jalannya….
Ummi Dayana...
Mode:Menghitung hari menanti cinta anugerah Allah... ;)