My Little Coven

My Little Coven
Lovely Dovely

Wednesday, January 22, 2014

Bring Shal and Families Back

Terpanggil mencoret tentang cerita ini. Sebuah keluarga yang berada beribu kilometer dari tanahair. Tidak mengenali mereka pun. Tetapi hati meruntun saat membaca kisah yang terjadi..Hanya kerana merotan sedikit sebagai hukuman tidak mendirikan solat, kedua ibu bapa ditahan pihak berkuasa atas tuduhan mendera, anak anak terpisah daripada ibu bapa dan di tempatkan di rumah keluarga angkat yang bukan Islam. Seluruh keluarga ini terpisah tanpa dapat menghubungi antara satu sama lain.Hati tertanya bagaimakah akidah anak anak itu? Solatkan mereka? Apakah hidangan yang mereka jamah itu halal? Ya Allah...Sayu hati ini kerana aku seorang ummi yang punya anak. Aku juga menghukum anak ku bila dia bermalasan untuk solat walau pun dia baru berusia 6/7 tahun. Aku memberikan hukuman "frozen time" kerana umur sekecil ini belum masa untuk aku rotan. Mungkin hukuman ini nampak kecil bagi kita di negara kita tetapi amat berbeza di negara orang yang agama Islam merupakan agama minoriti. Hukuman kita dianggap penderaan. Ada desas desus mengatakan bahawa ini adalah cara mereka memisahkan anak anak daripada ibu bapa terutama golongan bukan warganegara atas kepentingan tertentu. Apa pun persoalannya AKIDAH ANAK ANAK ISLAM perlu diselamatkan.


Ibu bapa zaman dahulu menggunakan rotan sebagai satu cara mendisiplinkan anak-anak. Tetapi kebanyakan ibu bapa moden kurang percaya kuasa rotan sebagai satu cara mendidik anak-anak. Memukul atau merotan adalah hukuman fizikal. Ia dikenakan bertujuan menghentikan perbuatan nakal si anak dan hukuman atas kesalahan yang dilakukan.Walaupun kini ramai yang kurang bersetuju merotan anak tetapi hakikatnya masih ada situasi tertentu ibu bapa perlu merotan anak sebagai hukuman.


Terutamanya dalam perkara membabitkan hukum syari’ah. Dalam solat misalnya, Nabi Muhamad saw pernah berpesan supaya mengajar anak bersolat ketika berusia tujuh tahun dan merotan(memukul) anak yang tidak bersolat ketika mereka berusia 10 tahun.


Adakah selamat merotan anak?

Sebelum mengenakan hukuman ini, ibu bapa wajar memahami dan mengenali perwatakan dan sikap anak-anak. Ibu bapa juga perlu mengambil kira tahap hubungan mereka dengan anak-anak. Sekiranya anak-anak mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa, maka hukuman fizikal tidak akan menjejaskan emosi anak-anak. Sebaliknya jika ibu bapa tidak begitu rapat dengan anak-anak, hukuman fizikal mungkin akan mengakibatkan emosi anak-anak terganggu seperti menyimpan dendam, marah dan sebagainya. Ibu bapa perlu meneliti, sama ada hukuman fizikal itu dilakukan secara spontan atau terancang. Hukuman fizikal yang terancang bermakna ibu bapa mempunyai peraturan yang tertentu misalnya anak-anak wajib menunaikan solat lima waktu, andainya anak-anak tidak mengikut peraturan tersebut maka mereka dikenakan hukuman fizikal.


Pastikan anak-anak memahami peraturan dan tahu akibat daripada kedegilan, mereka akan menerima hukuman fizikal. Di sini, anak-anak diberi pilihan sama ada mengikut peraturan atau menerima hukuman. Manakala hukuman fizikal secara spontan pula ialah yang berlawanan dengan hukuman fizikal terancang, tidak ada peraturan yang dibuat, jika anak buat perangai sahaja, ibu bapa terus mengenakan hukuman fizikal.
Pantang anak buat silap, pasti kena hukum. Cara ini akan membuatkan anak-anak kerap mengulangi kerenah yang sama. Setiap kali mengenakan hukuman fizikal, pastikan kita memberi penerangan kepada anak-anak kenapa mereka dipukul dan sebagainya. Beritahu mereka tentang kelakuan tersebut yang tidak dapat kita terima. Buat peraturan tentang perkara itu dan beritahu anak-anak, mereka akan menerima hukuman yang sama setiap kali mereka berkelakuan begitu.

 Pastikan juga anda bukan dalam keadaan marah ketika hukuman fizikal dilakukan. Orang yang sedang marah tidak dapat mengawal emosi dengan baik. Ditakuti kemarahan tersebut dilepaskan kepada anak-anak dan boleh menyebabkan kepada tahap penderaan. Sekiranya hati sedang panas, eloklah elakkan diri daripada anak-anak sehingga kemarahan reda. Ibu bapa seharusnya tahu bagaimana cara merotan yang selamat dan tidak mendatangkan kecederaan kepada anak-anak. Merotan anak-anak di tempat yang kurang sensitif seperti tapak tangan. Jangan sesekali memukul di bahagian muka atau di tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya seperti di kepala atau perut. Pukulan yang diberikan jangan terlalu kuat, cukup sekadar dapat memberi pengajaran kepada anak-anak agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.


Walaupun begitu, sekiranya ibu bapa mempunyai cara yang lebih efektif, elakkan dari mengenakan hukuman fizikal terhadap anak-anak.

Doa ku seorang Ummi semoga sahaja keluarga Islam ini dirahmati Allah dan kembali ke Malaysia dengan selamat. Hanya Allah Sebaik Pengatur..

Ummi Insyirah Haqimi..
Ummi yang biasa2 saje

No comments:

Post a Comment

Tq for reading